KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pegawai kanan yang berkhidmat dengan Kerajaan Negeri bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia 50-an ditahan kira-kira jam 8 malam tadi di pejabat SPRM Alor Setar, kerana disyaki meminta rasuah berjumlah kira-kira RM1 juta daripada seorang pemilik syarikat.

Perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 26 Julai telah dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif di Mahkamah Majistret Alor Setar pagi tadi.

Setakat ini, secara keseluruhan seramai empat suspek telah ditahan SPRM termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (DEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI), pengarah syarikat dan pembantu kepada pemilik syarikat bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi  mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009.